MTUC gesa Malaysia Airlines iktiraf kesatuan anak kapal

Nufam mahu penyelia penerbangan dimasukkan sebagai kru kabin, namun MAB menentang dengan berkata, penyelia dianggap sebagai pengurus atau eksekutif.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Malaysia Airlines supaya segera mengiktiraf Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) berikutan tindakan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang mencabar keputusan menteri bahawa penyelia penerbangan layak menubuhkan kesatuan.

“Kami menggesa pihak pengurusan Malaysia Airlines memberikan contoh yang baik dengan segera mengiktiraf kesatuan itu,” kata setiausaha agung MTUC, J Solomon.

Beliau berkata, “terlalu banyak masa” disia-siakan dalam perdebatan undang-undang.

“Ini melemahkan pekerja dari segi asas perlindungan sosial selama bertahun-tahun dan satu-satunya jalan keluar adalah dengan memberikan pengiktirafan segera kepada kesatuan itu untuk mengadakan rundingan mengenai perjanjian kolektif.

“Jika Malaysia Airlines tidak berbuat sedemikan, ia hanya mengesahkan kesinambungan taktik anti-kesatuannya, yang kelihatan seperti kerajaan menggunakan GLC untuk memecah belahkan kesatuan,” katanya dalam kenyataan.

Nufam mahu penyelia penerbangan dimasukkan sebagai kru kabin untuk mendapatkan pengiktirafan daripada MAB.

Namun, MAB menentang langkah itu dengan mengatakan penyelia dianggap sebagai pengurus atau eksekutif.

Menteri sumber manusia Richard Riot pada 2018, memutuskan penyelia layak memilih.

MAB memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu, tetapi ditolakoleh Mahkamah Tinggi dan kemudian disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Solomon berkata, hak untuk membentuk kesatuan sekerja dilindungi oleh undang-undang buruh Malaysia.

“Jadi agak malang, GLC…terlibat dalam aktiviti yang mengggangu pembentukan dan fungsi kesatuan sekerja,” katanya.

Beliau berkata, kepentingan kesatuan dalam melindungi pekerja terbukti ketika pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyaksikan ramai pekerja terpaksa mengambil cuti tahunan, pemotongan gaji dan pemberhentian.

Beliau meminta Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong supaya mengambil inisiatif untuk membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil berat penderitaan pekerja dengan mengarahkan pengurusan Malaysia Airlines mengundang Nufam ke meja rundingan.