Pengguna TikTok, YouTube tidak perlu mohon lesen Finas, kata menteri komunikasi

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, pengguna media sosial bebas memuat naik video seperti biasa tanpa perlu mendapatkan lesen, atau berasa bimbang akan didakwa.

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, pengguna media sosial bebas memuat naik video seperti biasa tanpa perlu mendapatkan lesen, atau berasa bimbang akan didakwa oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau berkata, Kabinet turut mendokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial, termasuk di platform seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, merangkumi kebebasan untuk menghasilkan dan memuat naik video.

“Kerajaan akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dengan mengambil kira situasi semasa.

“Seperti saya umumkan pada 20 Jun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah memulakan usaha meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian.

Saifuddin Abdullah

“Ia supaya bersesuaian dengan situasi semasa. Kerajaan akan memulakan proses meminda akta-akta tersebut dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Saifuddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta Finas untuk menyekat kebebasan individu di media sosial susulan kritikan pelbagai pihak, termasuk penggiat seni.

Menurutnya, sebahagian daripada laporan yang tular berkaitan keperluan lesen Finas untuk perfilemen sebelum ini memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa makna berbeza daripada maksud sebenar.

Menurut laman sesawang Finas, bagi mendapatkan lesen pembikinan filem dan penggambaran video, pemohon mesti berdaftar sebagai pemilik syarikat Sdn Bhd dan mempunyai modal berbayar tidak kurang daripada RM50,000.

Finas baru-baru ini menimbulkan pertikaian mengenai lesen penerbitan apabila ia berkata, agensi berita satelit AlJazeera tidak mempunyai lesen penerbitan dan tidak memohon lesen akreditasi untuk menerbitkan dokumentari kontroversi saluran 101 East berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan pada 3 Julai lepas.