Pujuk wakil rakyat yakini parti lain tidak salah, kata Bung Moktar

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, walaupun dipujuk, keputusannya tetap bergantung pada wakil rakyat itu sendiri, sama ada bersetuju atau tidak.

PETALING JAYA: Umno Sabah berkata, perbuatan memujuk atau menyakinkan wakil rakyat supaya menyokong mana-mana parti bukanlah suatu kesalahan.

Pengerusi Umno negeri itu, Bung Moktar Radin berkata, kaedah sama turut digunakan ketika kempen pilihan raya bagi menyakinkan rakyat supaya memilih calon tertentu yang bertanding.

“Negara ini negara demokrasi, pujuk memujuk serta cuba meyakinkan ahli Parlimen yang lain supaya menyokong mana-mana parti, bukanlah suatu kesalahan

“Serupa juga dalam pilihan raya di mana ejen atau wakil parti memujuk rakyat dan meyakinkan pengundi supaya memilih calon parti yang bertanding,” katanya kepada FMT hari ini.

Bung berkata, jika benar terdapat wakil parti berjumpa dan memberi penerangan tentang hala tuju yang perlu disokong sekali pun, namun isu pokoknya terletak pada wakil rakyat terbabit sendiri, sama ada mahu bersetuju atau sebaliknya selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Saya nak tanya apa kesalahannya sekiranya benar ada orang tertentu yang berjumpa dengan ahli Parlimen daripada mana mana parti dan menerangkan hala tuju partinya. Selepas itu terpulanglah kepada wakil rakyat tersebut untuk membuat keputusan.

“Malah ia serupa dengan keadaan yang berlaku sebelum ini di Sabah,” katanya dipercayai merujuk kepada beberapa wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) yang beralih arah menyokong kerajaan pimpinan Warisan selepas pilihan raya umum lalu.

Bung berkata, tindakan parti lawan membangkitkan isu cubaan melobi wakil rakyat di Sabah adalah lebih bertujuan mencari publisiti murahan.

“Pada saya janganlah ada pihak yang cuba mencari publisiti murahan. Banyak lagi kerja lebih penting seperti membangun rakyat dan ekonomi.

“Mana-mana ahli Parlimen atau Adun yang berhasrat untuk berpindah parti, maka ia adalah hal dia dan dia tahu perbuatan tersebut ada risiko tersendiri,”katanya.

Semalam pemimpin Warisan mendakwa wujud usaha membeli wakil rakyat di Sabah supaya menyertai blok kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepanggar Mohd Azis Jamman berkata, wakil kerajaan juga mengarahkan “ejen” untuk memujuk wakil rakyat di Sabah yang diterajui Warisan supaya meninggalkan parti itu.

Katanya, wakil rakyat terbabit bukan sahaja cuba dirasuah supaya “melompat parti”, sebaliknya turut diganggu.