Rayuan Shafee gugur Sri Ram didengar 30 Sept depan

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan pelantikan Gopal Sri Ram atau menggugurkan beliau dengan menyatakan surat pelantikan bekas haklim itu tidak sah.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 30 September depan untuk mendengar permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram bernilai RM9.5 juta.

Panel 3 hakim diketuai Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee untuk menangguhkan pendengaran rayuan yang dijadualkan hari ini.

Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa beliau memohon pendengaran berkenaan ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semakan kehakiman itu, yang difailkan Shafee dan bekas perdana menteri Najib Razak, secara berasingan adalah bagi mencabar keputusan peguam negara yang melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya, yang akan didengar pada 29 Julai ini.

Timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap penangguhan pendengaran rayuan itu.

Dua lagi anggota panel hakim pada hari ini ialah Azizah Nawawi dan Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 22 April tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Shafee untuk menggugurkan Sri Ram dan juga untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Bagaimanapun Shafee dan Najib memfailkan semakan kehakiman memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau, dengan menyatakan surat pelantikan Sri Ram adalah tidak sah.

Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Sept 2018 atas 2 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan 2 pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Najib pula berdepan tuduhan rasuah dan pengubahan haram membabitkan wang RM2.3 juta bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).