Remaja dituduh campak bayi ditahan di hospital sementara tunggu rayuan jaminan

Santhiea Mahadevan ditahan di bawah jagaan Jabatan Penjara di wad bersalin Hospital Pulau Pinang sementara menunggu rayuannya untuk diikat jamin.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang wanita berusia 18 tahun yang dituduh membunuh ditahan di hospital bagi mendapatkan rawatan sementara menunggu rayuannya untuk dibebaskan dengan jaminan.

Santhiea Mahadevan yang didakwa mencampak bayi perempuan baru lahir dari tingkap pada 10 Julai lalu, berdepan tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Jaminan tidak ditawarkan kepada suspek yang dituduh membunuh dan kebiasannya ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan.

Hakim Mahkamah Tinggi Amirudin Abd Rahman berkata, sementara mahkamah mempertimbangkan permohonan Santhiea, wanita itu akan ditempatkan di Hospital Pulau Pinang selama 2 minggu sehingga tarikh pengurusan kes pada 7 Ogos.

Beliau diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Penjara di wad bersalin hospital berkenaan sejak ditahan pada 10 Julai lalu.

Pada 16 Julai, Santhiea didakwa membunuh bayi baru dilahirkan di tingkat 4 Pangsapuri Sri Ivory di Bandar Baru Air Itam, jam 8.25 pagi 10 Julai.

Tertuduh didakwa di hospital sebelum pendaftar Mahkamah Majistret memaklumkan kepada peguamnya bahawa beliau tidak berhak untuk memutuskan jaminan terhadap wanita itu.

Peguam Santhiea, RSN Rayer, kemudian mengemukakan rayuan untuk jaminan di Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding rayuan hari ini, timbalan pendakwa raya Yazid Mustaqim Roslan berkata pejabat pendakwa menerima usul Santhiea untuk mengemukakan permohonan rayuan pada 22 Julai bersama-sama dengan afidavit sokongan, sambil memberitahu bahawa ia memerlukan masa untuk membalas usul berkenaan.

Rayer kemudian meminta mahkamah membenarkan Santhiea terus dirawat di hospital kerana masih lemah.

Beliau berkata, mahkamah harus mempertimbangkan afidavitnya kerana anak guamnya memerlukan rawatan susulan akibat komplikasi berkaitan kelahiran.

Katanya, jaminan harus diberikan kepada Santhiea kerana wanita itu boleh dibenarkan jaminan berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau memetik kes pendakwa raya lwn Balwant Singh yang menyaksikan warga emas itu diberi jaminan dan baru-baru ini Samira Muzaffar dalam kes pembunuhan CEO Cradle Fund yang turut dibenarkan ikat jamin.

Amiruddin kemudian berkata, Santhiea akan berada di hospital selama 2 minggu lagi sementara menunggu jawapan pejabat pendakwa raya. Beliau menetapkan 7 Ogos untuk pengurusan kes.