Slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ untuk orang tempatan atau asing, soal bekas menteri

Bekas menteri industri utama Teresa Kok.

PETALING JAYA: Bekas menteri industri utama Teresa Kok minta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali jawab siapa sasaran slogan baru kempen penerangan sawit, yang ditukar daripada “Sayangi Sawitku” kepada “Sawit Anugerah Tuhan”.

Kok menerangkan cabaran yang dihadapi industri sawit ialah persepsi negatif terhadap eksport negara yang ketiga terbesar itu, dan kempen dilancar untuk memberi penerangan tentang sawit Malaysia ke seluruh dunia.

“Apakah slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ adalah untuk kempen yang mensasarkan warga Malaysia atau warga asing?” kata Kok dalam kenyataan.

“Sekiranya ia juga merupakan kempen yang menyasarkan masyarakat antarabangsa, maka slogan bagi kempen penerangan sawit ini haruslah kekal pada ‘Love MY Palm Oil’ atau ‘Sayangi Sawitku’.”

Kok berkata slogan asal diwujudkan kerana ia menyasarkan warga Malaysia dan masyarakat antarabangsa. “‘MY’ bermaksud ‘Malaysia’,” katanya.

“Ia tidak haruslah bertukar hanya kerana pertukaran kerajaan ataupun pertukaran menteri demi menunjukkan kesinambungan mesej di masyarakat antarabangsa.”

Beliau yang menjadi menteri ketika itu dilaporkan berkata, objektif kempen itu ialah menyemai rasa bangga rakyat terhadap industri sawit negara dan meningkatkan kesedaran serta mendidik rakyat mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit.

Terdahulu, Khairuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat penjenamaan semula itu kerana nama berkenaan lebih baik.

Katanya, sawit itu ialah anugerah Tuhan dan bahan makanan terbaik untuk dunia.

Kerajaan Pakatan Harapan melancarkan kempen “Sayangi Minyak Sawitku” pada 8 Januari 2019 untuk memerangi kempen anti-sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah terhadap komoditi negara itu.