Badan pemikir gesa Putrajaya tidak ugut rakyat patuh SOP

Bermula 1 Ogos ini, pemakaian topeng diwajibkan di tempat awam dan mereka yang gagal mematuhinya akan dikompaun atau didakwa di mahkamah.

PETALING JAYA: Ketua sebuah badan pemikir mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan hukuman berat bagi memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib mempersoalkan sama ada kerajaan dapat membuktikan hukuman penjara yang lama atau denda berat dapat meningkatkan tahap pematuhan orang ramai.

“Walaupun ia menarik untuk menggunakan kaedah seperti denda dan penjara bagi menguatkuasakan langkah seperti kuarantin di rumah atau pematuhan SOP, ada masalah dengan cubaan menimbulkan ketakutan atau menakut-nakutkan rakyat untuk mematuhinya,” katanya kepada FMT.

Pendekatan menakut-nakutkan boleh menimbulkan diskriminasi dan menyalahkan mangsa, katanya.

Beliau berkata, mungkin golongan paling terkesan akibat hukuman berat itu adalah orang miskin.

“Mereka mungkin dipenjarakan kerana tidak mampu membayar denda tinggi. Bagaimana ia membantu? Kita tidak perlu lebih ramai orang di penjara kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan.”

Beliau juga tidak bersetuju menyekat operasi perniagaan untuk memastikan pematuhan.

“Perniagaan sudah berdepan kesulitan akibat kehilangan pelanggan. Banyak yang berdepan penutupan dan bergelut untuk bertahan.”

Katanya, kerajaan sebaliknya perlu meningkatkan sokongan terhadap perniagaan untuk membantu mereka mematuhi peraturan baru.

Azrul menyalahkan kerajaan atas kepuasan hati ditunjukkan orang ramai.

“Kita tertarik kepada perasaan selamat dengan melihat data rendah yang dilaporkan dan persepsi salah kebanyakan kes membabitkan bukan warganegara.

“Pegawai meminta rakyat mematuhi SOP, tetapi mereka dan kakitangan mereka tidak (berbuat demikian). Kita dapat melihat di media sosial mereka tidak memakai topeng dalam mesyuarat dan ketika berkumpul atau menaiki kapal terbang.”

Beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan kadar celik kesihatan untuk memastikan pematuhan rakyat.

“Kita mempunyai kadar celik kesihatan yang rendah di negara ini, seperti ditunjukkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan baru-baru ini.

“Menghukum orang atas sesuatu yang mereka tidak faham sepenuhnya adalah salah. Kita tidak berusaha sepenuhnya untuk meningkatkan celik kesihatan sebelum penularan Covid-19.”

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, separuh daripada rakyat Malaysia yang seharusnya menjalani kuarantin di rumah melanggar SOP ditetapkan.

Beliau memberi amaran mereka boleh dipenjara hingga 6 bulan atau denda RM1,000.