Kementerian rancang perluas kawasan pertanian bandar mega di Putrajaya

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah mengenal pasti tanah di kawasan Presint 20 seluas 14 hektar untuk tujuan itu. (Gambar Eats Shoots and Roots)

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk memperluas kawasan pertanian bandar mega di Putrajaya, terutama bagi tanah yang masih belum digunakan.

Menterinya Annuar Musa berkata, Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah mengenal pasti tanah di kawasan Presint 20 seluas 14 hektar untuk tujuan itu.

“Di Putrajaya masih ada banyak tanah, termasuk tanah yang tidak digunakan dalam jangka masa terdekat iaitu 4 ke 5 tahun. Jadi kita boleh pertimbangkan aktiviti produktif untuk gunakan tanah tersebut termasuk rancangan PPj untuk wujudkan pertanian bandar mega,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), iaitu pusat pembelajaran kitar semula yang pertama Malaysia di Presint 5.

Annuar Musa

Dalam pada itu, Annuar berkata pihaknya juga akan membuat kajian penggunaan bunga tempatan yang sesuai bagi menghiasi landskap di sepanjang jalan protokol di Putrajaya.

“Di Putrajaya ini kita jangan buat landskap yang biasa, tetapi mesti mempunyai karakter tertentu sebagaimana yang dibuat di Singapura,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, bekas ahli Umno yang dipecat sebelum ini boleh memohon untuk menyertai semula parti itu dan Majlis Tertinggi Umno mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan permohonan berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan semalam yang mengatakan Umno boleh mengubah semula keputusan pemecatan Muhyiddin Yassin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti.

Namun katanya, semua pihak mesti menghormati kedudukan perdana menteri yang juga pemangku pengerusi dan presiden PPBM.