Lebih 2,000 dikuarantin gagal jalani saringan ke-2 akan dikenakan tindakan

Individu yang dikenakan perintah kuarantin di rumah dikehendaki menghubungi pihak berkuasa kesihatan daerah bagi menjalani ujian saringan ke-2 Covid-19.

PETALING JAYA: Pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap 2,897 individu di bawah perintah kuarantin di rumah yang gagal menjalani ujian saringan ke-2 Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, individu terbabit akan ditahan dan didakwa di mahkamah.

“Indvidu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan ke-2,” katanya dalam laporan harian perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19.

Dalam perkembangan lain Ismail berkata, pada hari pertama stesen kuarantin dibuka semula semalam, iaitu selepas kerajaan tidak lagi membenarkan kuarantin di rumah, lebih 300 individu terlibat selepas pulang dari 12 negara.

“Bermula 24 Julai 2020, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia (ekspatriat, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan.

“Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin, termasuk kos ujian saringan Covid-19.

“Semalam (24 Julai 2020), seramai 319 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 4 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Mereka pulang dari 12 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, China dan Australia,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk membuka semula stesen kuarantin untuk perintah kuarantin wajib 14 hari diambil setelah mengambil kira peningkatan kes import dan ketidakpatuhan SOP yang menyebabkan peningkatan risiko penularan jangkitan Covid-19.

“Bagaimanapun, seramai 9,600 individu masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing.

“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama polis akan membuat pemeriksaan mengejut (spot-check) untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan,”katanya.

Ismail turut menaklumkan, polis menahan 330 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 23 individu direman, manakala 3 diikat jamin.

“304 individu lagi dikenakan kompaun. Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.