Lelaki Bangladesh ditemubual Al Jazeera dilarang ke Malaysia selamanya

Md Rayhan Kabir ditahan sepasukan pegawai dari Unit Risikan Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya di Setapak, Kuala Lumpur semalam. (Gambar JIM)

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki Bangladesh yang ditemubual saluran berita Al Jazeera dalam dokumentari kontroversi berhubung pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia, dilarang memasuki negara ini seumur hidupnya.

“Warganegara Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan penahanan Md Rayhan Kabir, 25, ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Rayhan menjadi sasaran pihak berkuasa selepas dia muncul dalam dokumentari 25 minit bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East terbitan Al Jazeera pada 3 Julai lalu, dengan mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika menangani Covid-19.

Gambar Rayhan disiarkan beberapa laman berita bersama butiran pasport Bangladeshnya yang didedahkan imigresen kepada media dan dia dikehendaki untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Khairul berkata, sepasukan pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya menahan warga Bangladesh itu di Setapak, Kuala Lumpur pada 5.45 petang semalam.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada risikan dan buruan berterusan selama 2 minggu.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai terlibat di atas usaha dan komitmen mereka.”

Sementara itu, Rayhan sebelum ditahan semalam memberitahu akhbar Bangladesh, The Daily Star, dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap migran dan tidak melakukan sebarang jenayah atau menipu ketika ditemubual Al Jazeera.

“Saya mahu maruah migran dan negara saya terjamin. Saya percaya semua migran dan Bangladesh akan menyokong saya.”