Najib nafi tidak bayar cukai, tolak ‘propaganda’ PH berkait tuntutan LHDN RM1.69 bilion

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, tuntutan cukai RM1.69 bilion merupakan penyalahgunaan kuasa kerajaan sewaktu Lim Guan Eng menjawat tugas menteri kewangan.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah mengelak daripada membayar cukai setiap tahun, sekali gus menafikan propaganda penyokong Pakatan Harapan yang memetik keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini bahawa dirinya perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.

Najib berkata, nilai RM1.69 bilion itu adalah tuntutan cukai tambahan serta 2 kali penalti yang dikenakan atas dirinya.

Katanya, tuntutan itu langsung tidak berasas dan tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Bahkan katanya, ia adalah merupakan penyalahgunaan kuasa kerajaan sewaktu Lim Guan Eng menjawat tugas menteri kewangan.

“Adakah orang biasa dikenakan cukai ke atas ‘deposit’ yang sudah pun dikembalikan kepada penghantar 4 bulan sebelum itu?

“ Itulah bahagian terbesar cukai RM1.169 bilion itu di mana dana yang disebut RM2.6 bilion itu dianggap sebagai pendapatan yang perlu dicukai sehingga 30%.

“Selepas itu, dikenakan lagi penalti 2 kali walaupun dana itu tidak digunakan dan sudah dikembalikan kepada penghantar 4 bulan selepas diterima.

“Juga adakah orang biasa akan dikenakan cukai apabila kamu pindah wang dari satu akaun yang dimiliki kamu ke akaun lain yang juga dimiliki kamu?.

“Sebagai contoh, akaun A dan B milik kamu. Bila wang keluar dari akaun A untuk dipindah ke akaun B, aliran wang keluar akaun A diambil kira sebagai perbelanjaan peribadi dan aliran wang itu pula dikira sebagai pendapatan semasa diterima dalam akaun B,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Ia berikutan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman dikemukakannya terhadap Najib bagi menuntut jumlah tunggakan berkenaan.

Najib berkata, dalam tuntutan cukai pendapatan yang dibuat pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terhadap dirinya, semua ini diambil kira oleh LHDN sebagai perbelanjaan peribadinya.

“Adakah orang biasa tidak dibenarkan untuk merayu kepada Suruhanjaya Cukai untuk mempertikaikan tuntutan cukai walaupun permohonan dibuat sejak April 2019,” katanya.

Najib turut mempersoalkan sama ada orang biasa tidak dibenarkan mendapat pelepasan cukai bagi kerja-kerja amal, yang menyaksikan semua deposit dalam akaun yang dicukai itu sudah digunakan untuk tujuan khidmat masyarakat.

“Ia termasuk menderma barang untuk kegunaan imam, tahfiz dan lebih 7,000 masjid di seluruh Malaysia, serta bekalan kain untuk mangsa banjir selama 4 tahun berturut-turut, iaitu antara tahun 2011 dan 2014,” katanya.