Lapor polis, halang kanak-kanak dipukul di tempat awam, kata ahli akademik

Tangkap layar satu klip video yang kembali tular di media sosial menunjukkan seorang bapa memukul anaknya menggunakan ‘stroller’ di sebuah pusat beli-belah. Kejadian itu dipercayai berlaku di luar negara. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Seorang pensyarah undang-undang tempatan berkata, orang ramai berhak bersuara dan mengambil tindakan seperti membuat laporan kepada pihak berkuasa, jika melihat kanak-kanak berdepan penderaan mental, fizikal serta emosi di tempat awam.

Zuraini Ab Hamid dari Universiti Islam Antarabangsa, mengulas sebuah rakaman video yang kembali tular di media sosial menunjukkan seorang bapa memukul anaknya menggunakan “stroller” di sebuah pusat beli-belah dengan disaksikan orang ramai. Kejadian itu dipercayai berlaku di negara lain.

Katanya, menjadi tanggungjawab sosial masyarakat untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada sebarang bahaya atau kecederaan, dan mereka perlu melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Beliau menasihatkan orang ramai mengubah sikap dengan sekadar merakam dan menularkannya di media sosial, sebaliknya menyerahkan rakaman video itu kepada pihak berkuasa untuk dijadikan bukti.

“Banyak yang boleh dilakukan masyarakat apabila melihat situasi seperti itu, antaranya mencegah dan menghalang bapa tersebut daripada terus memperlakukan anak tersebut sedemikian rupa dan merakam video bagi tujuan rujukan pihak berkuasa.

“Kegagalan melaporkan sesuatu kes jenayah kepada pihak polis boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan, iaitu penjara selama tempoh yang boleh sampai 6 bulan atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada FMT.

Zuraini berkata, panduan khas sudah disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai tindakan yang perlu diambil masyarakat apabila berdepan situasi sedemikian, termasuk membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, ia merupakan kesalahan jika individu yang dipertanggungjawabkan menjaga kanak-kanak itu menganiaya atau mendedahkannya kepada kecederaan fizikal dan emosi.

“Ini termasuklah perbuatan dilakukan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut, tidak kira di tempat terbuka atau tertutup, memandangkan kesalahan ini dinyatakan dengan jelas di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ramai ibu bapa menggunakan kekerasan dengan alasan untuk mendidik dan mendisiplinkan anak. Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh diterima kerana ia boleh mencederakan fizikal dan emosi anak-anak yang tidak berdosa.”