Sabah lancar 1 lagi minyak masak baru di Keningau bulan depan

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, pembukaan kilang dan produk minyak masak baru itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pelbagai faedah kepada ekonomi negeri.

TUARAN: Sabah bakal mengeluarkan 1 lagi produk minyak masak tempatan yang dijangka dilancarkan bulan hadapan.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, ia adalah produk minyak masak ke-3 keluaran kerajaan negeri dan produk baru itu dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).

“Kilang minyak masak berkenaan adalah di Keningau dan saya dihubungi SLDB dan ia bakal dilancarkan bulan depan.

“Oleh itu, saya yakin pembukaan kilang dengan produk minyak masak baru itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pelbagai faedah kepada ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan dan beramah mesra dengan penduduk di Skim Penempatan Lembaga Industri Getah Sabah di sini, hari ini.

Pada 3 Februari, kerajaan negeri Sabah melakar sejarah apabila melancarkan jenama produk minyak masak sendiri, iaitu BESS di Tawau diterajui syarikat Benta Wawasan yang kini mampu memproses dan mengeluarkan kira-kira 2,000 tan metrik minyak masak sebulan.

Pada 4 Julai, ia melancarkan 1 lagi produk minyak masak jenama Gold di Sandakan yang dikeluarkan oleh syarikat milik kerajaan negeri Sawit Kinabalu.

Mengulas lawatannya, Shafie berkata, beliau yang ditemani Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong meninjau beberapa kawasan berpotensi dimajukan.

“Banyak kawasan yang boleh dimajukan di Tuaran khususnya dari segi perikanan dan pertanian.

“Oleh itu, kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah memperuntuk sebanyak 40 lot di kawasan pesisir laut di daerah ini untuk dijadikan pusat ternakan ikan.

“Lot berkenaan akan diberikan kepada belia di kawasan ini dan kita juga akan membantu menyediakan benih ikan untuk memastikan ia dapat dimajukan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri mengenal pasti beberapa kawasan di Kuala Penyu, Kudat, Kunak dan beberapa daerah lain untuk melaksanakan program seperti itu.