Umno, PAS Johor bincang mengenai PRN, PRU15 tanpa PPBM esok

Timbalan pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata, pilihan raya negeri merupakan penyelesaian terbaik sekiranya Pakatan Harapan terus menganggu-gugat pentadbiran kerajaan PN di Johor. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno dan PAS Johor akan berbincang mengenai pilihan raya negeri (PRN) serta pilihan raya umum ke-15 (PRU15) esok tanpa melibatkan PPBM di negeri berkenaan, kata timbalan pengerusi Umno negeri Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan berkata, jentera Umno sendiri sudah bersedia untuk menghadapi PRN atau PRU15 sejak lebih 2 bulan lalu.

Katanya, perbincangan antara Umno dan PAS perlu dibuat supaya gerak kerja berjalan secara senada.

Ketika ditanya mengapakah mesyuarat berkenaan tidak melibatkan PPBM, Nur Jazlan secara berseloroh berkata, parti diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu sudah kuat dan tidak perlu bergabung dengan sesiapa.

“PPBM rasa dia sudah kuat dan tidak perlu bergabung dengan sesiapa. Kita yang kena gabung dengan dia,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Nur Jazlan berkata, PRN merupakan penyelesaian terbaik sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus menganggu-gugat pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Johor.

“Kita sudah bersedia menyahut cabaran pilihan raya,” katanya.

PPBM merupakan komponen kerajaan PN bersama-sama Umno, PAS, BN, GPS dan parti dari Sabah berikutan tumbangannya pentadbiran PH pada Februari lepas.