Visi pasca 2020 APEC dilancar akhir tahun ini, kata Azmin

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, Visi pasca 2020 APEC akan dilancarkan seperti dijadualkan walaupun terdapat perubahan dalam format mesyuarat pada tahun ini.

KUALA LUMPUR: Visi pasca 2020 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan dilancarkan pada akhir tahun seperti yang dijadualkan walaupun terdapat perubahan dalam format mesyuarat pada tahun ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kerja-kerja yang sedang dijalankan untuk merangka visi itu berada pada tahap lanjutan dengan pegawai kanan mengadakan mesyuarat berkala untuk tujuan itu.

“Pegawai kanan dari 21 ekonomi APEC yang diterajui oleh pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) Malaysia mengadakan pertemuan sebanyak 2 kali setakat ini, di Langkawi pada Disember 2019 dan pertemuan kedua di Putrajaya pada Februari 2020,” katanya pada sidang media maya selepas mempengerusikan mesyuarat digital pertama untuk menteri-menteri perdagangan APEC di sin,i hari ini.

Sementara itu, mesyuarat maya diadakan minggu lepas pada sesi khas SOM mengenai Visi pasca 2020, selain rundingan dan merangka kerja editorial melalui kaedah elektronik.

“Seperti Matlamat Bogor, ekonomi APEC menjangka tuan rumah berikutnya, iaitu New Zealand dan Thailand, akan memberikan lebih banyak hala tuju untuk pelaksanaan visi itu dengan merangka pelan tindakan dan strategi hingga siap sepenuhnya mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Azmin berkata, pemimpin APEC akan meneliti Visi pasca 2020 pada Disember.

“Menurut kalender APEC 2020, pegawai kanan akan mengadakan pertemuan sebanyak 4 kali lagi sebelum mengemukakan Visi pasca 2020 kepada menteri-menteri APEC, yang akan dilancarkan oleh pemimpin tersebut pada Disember 2020,” katanya.