Wang tunai AS$2.5 bilion daripada Goldman Sachs dterima dalam 2 bulan, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyelesaian yang dicapai melibatkan kerajaan dan Goldman Sachs, bukan dengan 2 pegawainya, Tim Leissner dan Roger Ng.

SHAH ALAM: Kerajaan akan menerima pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion daripada AS$3.9 bilion yang dipersetujui oleh Goldman Sachs Group Inc bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan urus niaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh 2 bulan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata baki sebanyak AS$1.4 bilion akan dibayar selepas aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng melalui urus niaga itu dikembalikan semula kepada kerajaan.

“Sebelum ini, kita telah menerima tunai sebanyak AS$620 juta daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

“Jumlah keseluruhan sebanyak AS$2.5 bilion akan diterima dalam masa 2 bulan, bakinya akan diberi apabila kita mendapat semula beberapa aset,” katanya kepada pemberita ketika melawat Yayasan Hasanah di sini, hari ini.

Beliau berkata, wang itu akan disalurkan ke satu tabung amanah yang ditubuhkan hanya untuk membayar hutang 1MDB.

Ditanya sama ada wang yang diterima itu cukup untuk membayar hutang 1MDB, Tengku Zafrul berkata, wang tersebut akan banyak membantu, terutamanya dari segi pembayaran bon syarikat itu yang akan matang pada 2022 dan 2023.

Beliau berkata, penyelesaian itu melibatkan kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, bukan antara 2 pegawainya, Tim Leissner dan Roger Ng yang terlibat dalam skandal 1MDB.

“Penyelesaian 2 hala ini juga tidak akan mempengaruhi usaha kerajaan mendapatkan kembali aset dan dana 1MDB daripada mana-mana pihak, sama ada individu atau syarikat,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, Goldman Sachs Group Inc bersetuju untuk membayar sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan dengan 3 urus niaga bon yang disusun oleh Goldman Sachs untuk 1MDB.

Penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng melalui 3 urus niaga bon tersebut.