15 juta dijangkiti Covid-19 seluruh dunia namun 12 negara masih catat sifar kes, betul ke?

Lebih 200 negara mengesahkan kes jangkitan wabak Covid-19. (Gambar AP)

Lebih daripada 15.5 juta kes Covid-19 direkodkan setakat hari ini.

Dari jumlah tersebut, lebih dari 600,000 orang sudah meninggal dunia, sementara 9.5 juta pesakit berjaya disembuhkan.

Ketika wabak Covid-19 mula tersebar, masyarakat dunia berpendapat wabak ini hanya akan menular di sekitar China.

Namun beberapa minggu kemudian, wabak tersebut menjangkiti beberapa negara lain.

Setakat hari ini, lebih daripada 200 negara telah mengesahkan kes jangkitan wabak Covid-19.

Namun, masih ada beberapa negara yang belum melaporkan kes jangkitan Covid-19, malah ada pelbagai spekulasi yang menyebut negara terbabit berusaha untuk menutup kes jangkitan di sana.

Berikut senarai negara yang tidak mempunyai kes Covid-19.

  1. Korea Utara (25.5 juta penduduk)
  2. Turkmenistan (5.85 juta penduduk)
  3. Kepulauan Solomon (680.806 penduduk)
  4. Vanuatu (299,882 penduduk)
  5. Samoa (198,414 penduduk)
  6. Kiribati (119,449 penduduk)
  7. Mikronesia (105.099 penduduk)
  8. Tonga (103.197 penduduk)
  9. Kepulauan Marshall (58,000 penduduk)
  10. Palau (17,907 penduduk)
  11. Tuvalu (11,508 penduduk)
  12. Nauru (12,704 penduduk)

Korea Utara antara negara di Asia yang tidak melaporkan sebarang kes jangkitan virus Covid-19 dan laporan ini ternyata meragukan.

Sumber Korea Selatan pernah melaporkan Covid-19 sebenarnya tersebar di negara yang dipimpin oleh Kim Jong Un.

Laporan ini sukar untuk disahkan, memandangkan Korea Utara mengamalkan kawalan ketat terhadap segala informasi yang keluar.

Tetapi, negara ini juga mengalami kesan negatif terhadap ekonominya dan kini dalam krisis makanan.

Manakala negara-negara kepulauan yang terletak di Lautan Pasifik masih tidak mencatatkan sebarang kes Covid-19 disebabkan lokasi negara yang terpencil.

Sebagai contoh Kiribati yang terletak hampir 4,500 kilometer dari New Zealand di Lautan Pasifik.

Bagi Turkmenistan pula, terdapat laporan menyatakan negara terbabit berusaha untuk menutup sebarang laporan mengenai kes penyebaran wabak Covid-19 di sana.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan lebih 8,884 kes wabak Covid-19 dan 123 kematian.

Sejak pertama kali diserang wabak ini pada Mac 2020, kerajaan Malaysia berjaya menyembuhkan 8,594 pesakit Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]