Garis kemiskinan baru: Kementerian jangka penerima bantuan JKM meningkat 3 kali ganda

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, buat masa ini terdapat 11 jenis bantuan disalurkan menerusi JKM, termasuk bantuan kanak-kanak, bantuan orang tua dan bantuan penjagaan OKU terlantar.

BERA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjangkakan jumlah penerima manfaat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meningkat 3 kali ganda, dengan penetapan had baru Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional, kata Menterinya Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, buat masa ini, JKM memperuntukkan RM1.53 bilion setahun untuk penyaluran bantuan kepada lebih 500,000 penerima yang layak berdasarkan PGK sebanyak RM980 sebulan, sebelum Jabatan Perangkaan pada 10 Julai lalu, mengumumkan had baru PGK ialah RM2,208.

Rina berkata, had baru itu membolehkan kementerian merangka strategi dan pendekatan yang lebih baik dalam pelaksanaan dasar kerajaan, khususnya berkaitan pembasmian kemiskinan dan peningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, selain aspek kebajikan.

“Penetapan had baru PGK adalah bertepatan dengan realiti sebenar kehidupan rakyat, yang pada masa ini turut berdepan implikasi yang disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 sehingga membawa kesan kepada aspek sosio-ekonomi mereka.

“Sungguhpun kadar baru akan meningkatkan jumlah rakyat yang tergolong dalam kemiskinan, namun langkah ini menzahirkan keprihatinan dan ketelusan kerajaan untuk mendengar permasalahan dalam situasi sebenar kehidupan rakyat,” katanya.

Rina berkata demikian kepada pemberita selepas program Ziarah Komuniti pesakit kencing manis dan darah tinggi, Nik Hamid Kub, 50, yang terlantar t3 bulan di rumahnya di Taman Merbau Indah di sini, hari ini.

Selain itu Rina berkata, semua agensi dan jabatan di bawah kementeriannya sedang meneliti secara terperinci dasar dan program sedia ada yang berkaitan PGK, supaya penambahbaikan dapat dilakukan selari dengan kadar baru yang diumumkan.

Katanya, buat masa ini terdapat 11 jenis bantuan disalurkan menerusi JKM, antaranya Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar dan Tabung Bantuan Segera.