Kapasiti makmal meningkat, uji 37,000 sampel Covid-19 sehari

Dr Adham Baba berkata, Malaysia kini mempunyai 56 makmal ujian Covid-19 berbanding 53 sebelum ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kapasiti dan keupayaan makmal ujian saringan serta pengesanan Covid-19 di dalam negara kini mampu menguji 37,000 sampel sehari.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata ia melibatkan 56 makmal di seluruh negara berbanding 53 sebelum ini.

Katanya, ujian dan saringan bagi mengesan individu bergejala dan tidak bergejala ialah elemen terpenting dalam memastikan penularan pandemik itu dapat dihentikan.

“Data yang kita ada hari ini, setakat ini kita dapat uji hampir sejuta individu di negara ini yang disaring, diambil swab dan dihantar untuk diuji di makmal yang kita ada di negara kita.

“Kita boleh saring 37,000 kes sehari dengan 56 makmal yang bersedia untuk menguji Covid-19 dan sekiranya kita dapat menguji seramai yang boleh, itu yang terbaik,” katanya pada sesi Bicara Dewan Muda Johor – “Untold Story: Di Sebalik Pandemik COVID-19″ yang disiarkan secara langsung di Facebook semalam.

Adham berkata, Malaysia antara negara yang mampu melakukan ujian saringan Covid-19 dengan kadar tinggi.

“Malaysia menguji untuk setiap 1,000 populasi 28 ujian kita buat, manakala di Korea Selatan 26 ujian untuk setiap 1,000 populasi, 4 ujian untuk setiap 1,000 populasi di Jepun, di Vietnam 2 ujian untuk 1,000 populasi, cuma di Singapura 79 ujian bagi 1,000 populasi.

“Jadi, ujian dan saringan untuk Covid-19 ini adalah elemen penting untuk pastikan kita dapat mengesan, mengekang, menghalang dan membendung lebih awal penularan pada peringkat awal, sekaligus kita dapat meyakinkan rakyat, kita dapat mengawal penyakit ini.

Katanya, ujian saringan yang dilakukan dengan pantas dan memperbanyakkan makmal ujian antara faktor Malaysia berjaya mengurangkan jumlah jangkitan.

“Pegawai kementerian akan turun ke lapangan segera bagi membuat saringan, apabila kes jangkitan dikenal pasti dan selepas itu individu disyaki dijangkiti akan segera diasingkan dengan siasatan kontak rapat dijalankan serta-merta.

“Sekiranya individu dalam pemantauan (PUI) didapati positif, mereka akan kekal diasingkan dan kontak rapat juga akan disaring, manakala individu di bawah pengawasan (PUS) juga akan diasingkan sehinggalah 14 hari sebelum dilepaskan, jika disahkan negatif.”