Kedah setuju pindah penduduk Bukit Malut ke kawasan baru di Langkawi, kata MB

Akhbar melaporkan banyak rumah dibina di petempatan haram Bukit Malut, Langkawi, termasuk di kawasan lereng bukit tanpa kebenaran pihak berkuasa. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menerima dan bersetuju dengan cadangan agar penduduk yang tinggal di petempatan haram di Bukit Malut, Langkawi, dipindahkan ke kawasan lain, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan pihak yang mengemukakan cadangan itu dan meminta pihak berkenaan membawa perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan selanjutnya.

“Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan untuk memindahkan mereka (penduduk Bukit Malut), ke kawasan lain di Langkawi.

“Ia sekarang bergantung kepada MKN untuk membuat keputusan, tetapi saya yakin, MKN akan bersetuju dengan cadangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk terbaru Menara Alor Setar, ‘Star View’ di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan berita mengenai penempatan haram Bukit Malut yang semakin berkembang, seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Muhammad Sanusi Md Nor

Sanusi berkata, cadangan memindahkan penduduk tersebut ke lokasi lain juga bagi memulangkan semula tanah yang didiami mereka ketika ini kepada pemilik asal.

“Tanah yang mereka diami itu adalah milik orang lain, antaranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Tuan tanah memang ada, tetapi mereka (penduduk penempatan haram) ini telah duduk berleluasa,” katanya.

Dalam laporan akhbar itu juga, dilaporkan banyak rumah dibina di Bukit Malut termasuk di kawasan lereng bukit tanpa kebenaran pihak berkuasa.