Kenapa terima penyelesaian hanya AS$3.9 bilion daripada Goldman Sachs, soal Guan Eng

Bank pelaburan Goldman Sachs akan membayar AS$2.5 bilion kepada Malaysia dengan jumlah tambahan AS$1.4 bilion diambil daripada aset 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Goldman Sachs tidak dilepaskan dengan mudah berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

Merujuk kepada penyelesaian yang dicapai antara Putrajaya dengan Goldman baru-baru ini yang bakal menyaksikan AS$3.9 bilion (RM16.63 bilion) dikembalikan kepada Malaysia, Lim berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menuntut sebanyak AS$7.5 bilion daripada bank pelaburan itu.

Beliau berkata, angka itu termasuk AS$1 bilion kos faedah.

Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Goldman Sachs akan membayar AS$2.5 bilion secara tunai dengan baki AS$1.4 bilion dibayar daripada aset yang dibeli dengan menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan.

Dalam kenyataan hari ini, Lim yang merupakan bekas menteri kewangan berkata, Goldman Sachs hanya membayar sebanyak AS$2.5 bilion secara tunai, sementara bakinya RM1.4 bilion diperoleh daripada aset yang dirampas oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Jika Goldman Sachs bersedia memulangkan baki AS$4 bilion daripada aset yang dicuri, bukan hanya AS$1.4 bilion, maka kerajaan Malaysia boleh berpuas hati kerana menerima penyelesaian berjumlah AS$6.5 bilion dan melepaskan tuntutan AS$1 bilion kos faedah di pihak kita,” kata Lim.

“Langkah melepaskan tuntutan asal sebanyak AS$7.5 bilion, tetapi menerima penyelesaian sebanyak AS$3.9 bilion adalah seperti menafikan beban besar hutang 1MDB.”

Katanya, pada masa ini, Goldman Sachs nampaknya hanya membayar sebanyak AS$2.5 bilion secara tunai bagi menyelesaikan perkara itu dengan Putrajaya.