KPKT lancar garis panduan kebun komuniti dalam bandar Ogos ini, kata Zuraida

KPKT akan menyelaras inisiatif kebun komuniti dalam bandar dengan agensi di bawahnya, termasuk Jabatan Landskap Negara dan pihak berkuasa tempatan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka melancarkan garis panduan bagi menyelaraskan polisi dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti kebun komuniti dalam banda, pada hujung Ogos ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, garis panduan tersebut sedang diperkemas dan diperhalusi kementerian berkenaan bagi memastikan pembukaan kebun dalam kawasan bandar dilakukan mengikut standard dan piawaian.

“Ketika ini tidak ada polisi (kebun bandar), jadi agak bercelaru untuk mereka yang berminat untuk mengendalikan kebun berkenaan.

“Jadi mereka hanya ambil tanah yang kosong dan buat (kendali kebun). Kita kena buat SOP atau polisi (berkaitan), jenis tanah mana yang dibenarkan, (seperti) berdekatan pencawang elektrik, cara pembinaan dan beberapa perincian lain bagi memudahkan pekebun,” katanya selepas merasmikan Ainaura Grocer Halal Mart di sini hari ini.

Zuraida berkata, menerusi garis panduan berkenaan, pekebun bandar juga tidak akan mengalami kesukaran untuk merujuk dan membuat permohonan, di agensi berbeza.

Tambahnya garis panduan itu juga diharap dapat menjadi pemangkin dalam memperluaskan program kebun komuniti, seperti projek perintis di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya.

Jelasnya inisiatif kebun komuniti akan diselaras KPKT dan agensi di bawahnya, termasuk Jabatan Landskap Negara dan pihak berkuasa tempatan.