Malaysia, Singapura benarkan rentas sempadan bersyarat seawal 17 Ogos

Hishammuddin Hussein (kiri) menemui rakan sejawatannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan di Tambak Johor hari ini. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Buat pertama kalinya, Malaysia dan Singapura bertemu di atas Tambak Johor hari ini, simbolik menandakan persetujuan rentas sempadan bersyarat yang dijangka bermula seawal 17 Ogos ini.

Pertemuan bersemuka pertama Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan kira-kira 10 minit itu, khususnya selepas kedua-dua negara menutup sempadan bagi mengekang penularan Covid-19, bermula dengan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan Putrajaya pada 18 Mac lalu.

Menyifatkan pertemuan itu peristiwa bersejarah, Hishammuddin berkata, kejayaan perbincangan 2 negara itu sehingga membawa kepada pembukaan sempadan tidak lama lagi boleh digunakan sebagai contoh untuk membincangkan gelembung perjalanan.

“Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura secara bersyarat, iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Kita sudah ada persetujuan dan kita muktamadkan SOP Malaysia dan Singapura,” katanya selepas pertemuan itu.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad.

Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah 2 kategori itu boleh menghantar permohonan ke Jabatan Imigresen negara mulai 10 Ogos ini.

“Bagi skim ke-3 dan ke-4, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum boleh dilaksanakan kerana ini berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan, memandangkan situasi Covid-19 jelas belum reda.”

Katanya, tahap pematuhan SOP rakyat menerusi RGL dan PCA akan turut diambil kira dalam menimbang kelulusan skim ke-3 dan ke-4, selain melihat keupayaan 2 negara melaksanakan ujian saringan Covid-19.

Malaysia kini juga dalam perbincangan gelembung perjalanan hijau dengan Australia, New Zealand, Thailand, Brunei dan Jepun.