Jangan berganjak janji jadikan Anwar PM, PKR ingatkan sekutu PH

Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sebagai gabungan baru, PH perlu berpegang kepada janjinya dan tidak mudah rebah dengan cabaran dihadapinya.

AMPANG: PKR mengingatkan parti komponen Pakatan Harapan supaya tidak berganjak daripada janji mengangkat Presidennya, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, sebagai gabungan baru, PH perlu berpegang kepada janjinya dan tidak mudah rebah dengan cabaran.

“Kita nak tegur rakan komponen kita jangan goyang dengan pendirian yang telah kita putuskan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh berganjak dengan janji kita bahawa Anwar akan kita angkat sebagai perdana menteri. Jangan kalut sikit, cadang orang lain,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penerangan PKR hari ini.

Beliau berkata, Anwar menghadapi pelbagai cabaran selama ini, termasuk dipenjarakan.

“Kini, Anwar kembali memimpin PKR dan diuji sekali lagi. Jika kita yakin dengan perjuangan reformasi, turunlah, bangkitlah mencari keadilan.”

Awal bulan ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu and Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, PH berpegang kepada pendirian asalnya untuk memilih Anwar sebagai perdana menterinya jika ia kembali berkuasa.

Sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, manakala Anwar dan anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan tidak rasmi pada 25 Jun lalu yang dihadiri beliau, Shafie, Mukhriz, Mohamad Sabu, Lim dan pemimpin DAP yang lain.

Bulan lalu, DAP dan Amanah meminta PKR kembali kepada persetujuan PH untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri ke-9 kerana Anwar dijangka tidak dapat meraih sokongan majoriti di Parlimen.

Kenyataan itu tidak diterima baik sesetengah pihak dalam PKR dengan seorang pemimpin dari Selangor menggesa parti itu meninggalkan DAP dan Amanah.

Susulan itu, Mahathir dan 5 bekas pemimpin PPBM mengumumkan diri mereka kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan luar Parlimen.

Sementara itu, Shamsul berkata, PKR akan melaksanakan proses pembersihan sekali lagi, selepas menyingkirkan 400 ahli yang melanggar disiplin parti.

“Akan ada lagi kumpulan yang kita mahu bersihkan dari parti. Ia harus lalui Majlis Pimpinan Pusat (MPP).”

Sementara itu, Shamsul berkata, PKR akan merampas kerusi Parlimen Ampang dan Gombak yang disandang 2 bekas pemimpinnya yang disifatkan pengkhianat parti pada PRU akan datang.

Beliau berkata, walaupun berdepan pengkhianat dalam kalangan ahlinya, PKR tetap kuat dan bersemangat meneruskan perjuangan serta cita-cita reformasinya.

“Kita nak ingatkan pada pengkhianat ini, ini adalah wilayah PKR. Kita akan tawan semula Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang.”

Bekas timbalan presiden dan naib presiden PKR itu dipecat pada 24 Feb lalu kerana mengkhianati parti dengan terbabit dalam “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.