Prasarana sedia perketat semula SOP pengangkutan awam jika diminta, kata Tajuddin

Prasarana bersedia mengetatkan SOP pengangkutan awam yang dikendalikannya seperti ketika pelaksanaan PKP fasa pertama berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

GEORGE TOWN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersedia memperketat semula prosedur operasi standard (SOP) pengangkutan awam yang dikendalikannnya jika diarahkan oleh kerajaan.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini termasuk mengurangkan kapasiti penumpang.

“Kita akan patuhi, tidak jadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan ulang tahun ke-13 Rapid Penang di sini, hari ini.

Tajuddin berkata demikian ketika ditanya persediaan Prasarana sekiranya kerajaan kembali mengetatkan SOP seperti yang dilaksanakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa pertama berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.