2 lelaki Bangladesh ditahan cuba sogok polis RM10,000 lepas 9 PATI

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kedua-dua lelaki berumur 35 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Danga Bay.

JOHOR BAHRU: Polis menahan 2 lelaki warga Bangladesh malam tadi selepas cuba menyogok ketua Balai Polis Danga Bay wang tunai berjumlah RM10,000 supaya melepaskan 9 pendatang tanpa izin yang ditangkap semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kedua-dua lelaki berumur 35 dan 43 tahun itu ditahan pada 11 malam di Balai Polis Danga Bay.

“Terdahulu, sepasukan polis dari Balai Polis Sentral menahan 8 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar yang didapati memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan dalam serbuan Op Benteng, pada 6.30 petang di sebuah kondominium di pusat bandar.

“Semasa (proses) dokumentasi dibuat terhadap 9 pendatang asing tersebut di Balai Polis Danga Bay, kedua-dua lelaki Bangladesh itu datang ke balai berkenaan dan menghulurkan wang RM10,000 sebagai imbuhan (untuk) melepaskan kesemua 9 lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Padzli berkata, mereka berdua ditahan serta merta kerana cuba memberi rasuah dan wang RM10,000 berkenaan dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bersama-sama 9 pendatang asing yang ditahan kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.