3 dipenjara 3 tahun kerana culik kanak-kanak

Pembantu klinik J Nanthini serta 2 pekerja kilang K Nithia dan G Logeswaran mengaku menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun 2 tahun lepas.

GEORGE TOWN: Tiga individu, termasuk seorang wanita masing-masing dihukum penjara 3 tahun 6 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menculik seorang kanak-kanak perempuan, 2 tahun lepas.

Pembantu klinik J Nanthini, 24, serta 2 pekerja kilang K Nithia, 27, dan G Logeswaran, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim Mohd Radzi Abdul Hamid.

Radzi memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka direman, iaitu pada 16 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa secara bersama-sama menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun dengan niat untuk mengurung mangsa secara rahsia dan salah di sekitar Taman Jawi Indah, Nibong Tebal Daerah Seberang Perai Selatan di sini, pada pukul 8.40 malam, 15 Mei 2018.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda.

Pertuduhan asal ialah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 dan mereka didakwa secara bersama-sama menculik dan mengurung mangsa secara rahsia di sekitar Taman Jawi Indah, Nibong Tebal Daerah Seberang Perai Selatan di sini, pada pukul 8.40 malam, 15 Mei 2018 dengan niat untuk mendapat wang tebusan RM100,000.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan timbalan pendakwa raya J G Kaameni, sementara Nanthini diwakili peguam R Dev Chander, manakala Nithia dan Logeswaran diwakili peguam Rajit Singh.