469 kes baru Covid-19 di Singapura, 15 kes import

Majoriti besar kes di Singapura masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja. (Gambar Reuters)

SINGAPURA: Singapura melaporkan 469 kes baru Covid-19 di republik itu, dengan 15 daripadanya merupakan kes import.

Dalam data ringkas dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, kesemua kes import dikenakan Notis Duduk Di rumah, semasa tiba di negara itu.

Berdasarkan siasatan MOH berkata, terdapat 2 kes dalam komuniti dan seorang daripadanya merupakan warga Singapura dan seorang lagi pemegang pas pekerja.

Majoriti besar kes di negara itu masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja dan dengan data terkini itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik berkenaan kini 50,838 kes.

Sementara itu dalam data yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 671 kes sebagai kes import, 2,162 kes komuniti dan 47,533 pula melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sehingga tengah hari semalam, 45,521 atau 90% daripada jumlah kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital ataupun kemudahan rawatan komuniti.

Masih terdapat 173 kes yang disahkan dirawat di hospital. Daripada jumlah itu, kebanyakkan berada dalam keadaan stabil dan tiada dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sejumlah 4,6481 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di republic itu.

Dua kluster baru dikenal pasti semalam, kedua-duanya melibatkan asrama pekerja, iaitu di 52 Kaki Bukit Industrial Terrace dan 19 Kian Teck Avenue.