7 kes baru Covid-19, 1 pesakit sembuh

PUTRAJAYA: Sebanyak 7 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 13 semalam, manakala 1 pesakit disahkan sembuh.

Tiada pertambahan angka kematianakibat Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlahnya kekal 124.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya berkata, tidak ada pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,904 kes Covid-19 dengan 8,601 daripadanya disahkan sembuh.
Manakala itu, 179 pesakit kini dirawat di hospital di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 7 kes baru hari ini, 4 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan 3 warganegara tempatan dan 1 bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“4 kes import itu adalah dari Pakistan (1 kes di Sabah), Rusia (1 kes di Selangor), Australia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur),” katanya.

Tambah Noor Hisham, 3 kes penularan dalam negara pula melibatkan warganegara Malaysia. Ketiga-tiga kes berlaku di Sabah.

“2 kes dirawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan 1 kes dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

Noor Hisham berkata, pihaknya akan melaksanakan pendekatan tertumpu kepada kontak rapat dan individu yang terlibat dalam kluster Bukit Tiram, melibatkan pusat keagamaan gereja Katholik.

“Selain melaksanakan saringan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif, individu berisiko tinggi atau berkait rapat dengan kumpulan ini juga digalakkan melakukan saringan Covid-19 kendiri.

“Sekiranya mempunyai gejala, segera hubungi klinik kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham turut menyeru supaya kumpulan ini tidak disisih atau distigmakan oleh masyarakat.

“Malahan kita perlu membantu dan menggalakkan mereka tampil untuk disaring. Ini diharap dapat membantu membendung penularan Covid-19 di negara kita,” katanya.