Ahli Parlimen gesa kerajaan beri murid pelitup muka boleh guna semula

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata pengagihan pelitup muka boleh guna semula melalui sekolah akan selesaikan masalah logistik.

KUALA LUMPUR: Dua orang ahli Parlimen dari PKR hari ini menggesa Putrajaya mengagihkan pelitup muka boleh guna semula kepada pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah untuk membantu mereka mematuhi SOP.

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata pemberian tersebut hanya akan memakan kos sekitar RM24 juta untuk agihan 2 unit pelitup muka boleh guna semula kepada setiap murid di seluruh negara dengan anggaran kos RM2 seunit.

Lee, yang juga bekas timbalan menteri kesihatan, berkata inisiatif itu akan meringankan beban ibu bapa yang perlu menyediakan pelitup muka untuk anak, seiring dasar kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos depan.

“Pemberian tersebut akan membantu mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan murid sekolah, yang mana keberangkalian jangkitan tanpa gejala jauh lebih tinggi berbanding orang dewasa,” katanya pada sidang media bersama Akmal di Parlimen.

Jelasnya, pengagihan pelitup muka melalui sekolah akan menyelesaikan masalah logistik dan dan menyarankan agar ia juga dilakukan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) jika Putrajaya dapat melaksanakannya.

Sementara itu, Akmal berkata pemberian itu juga akan menambah baik pematuhan SOP kerana tiada lagi alasan tidak memakai pelitup muka.