Bursa dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengenepikan trend bursa serantau untuk dibuka tinggi pagi ini dengan pelabur kembali ke pasaran, membeli ketika harga saham murah terutamanya saham berkaitan sarung tangan seperti Top Glove dan Hartalega, yang mana kedua-duanya mencatatkan kerugian berikutan aktiviti pengambilan untung Jumaat lepas.

Pada 9.05 pagi, penanda aras pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 4.59 mata atau 0.29% kepada 1,594.20 daripada 1,589.61 ketika ditutup Jumaat lepas.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran kembali positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 305 berbalas 168, manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,246 tidak diniagakan dan 28 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 646.61 juta unit bernilai RM330.83 juta.

Keuntungan dalam kalangan saham berwajaran tinggi didahului oleh Top Glove yang mengukuh 46 sen kepada RM25.90 dan Hartalega meningkat 14 sen kepada RM17.82.

Maxis menokok 5 sen kepada RM5.30, Tenaga naik 8 sen kepada RM11.32 dan Petronas Dagangan menambah 10 sen kepada RM20.72.

Pencatat untung teratas dikuasai kaunter berkaitan sarung tangan, termasuk Kossan, melonjak 46 sen kepada RM14.26, Careplus melambung 41 sen kepada RM2.87, Comfort lebih tinggi 17 sen kepada RM4.37, Supermax mengukuh 16 sen kepada RM17.30, dan Rubberex meningkat 13 sen kepada RM3.71.

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Nexgram meraih setengah sen kepada 6 sen. Jadi, Securemetic, dan Iris, masing-masing menokok 1 sen kepada 10.5 sen, 13.5 sen dan 30.5 sen. Eduspec dan Pegasus, kedua-duanya tidak berubah pada 5 sen dan 2.5 sen.

Walaupun bursa tempatan menyaksikan keuntungan hari ini, sentimen urus niaga masih lagi dalam kebimbangan ekoran ketegangan yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dan China.

Dalam notanya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat kelemahan di bursa tempatan akan berpanjangan kerana para pelabur memilih sikap berhati-hati selepas peningkatan ketara baru-baru ini.

Secara teknikalnya, firma itu mengunjurkan paras halangan FBM KLCI ialah pada 1,615, diikuti dengan 1,630, sementara sokongan pada 1,560 dan 1,530.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 37.58 mata kepada 11,309.76, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 33.39 mata kepada 11,147.44 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 72.36 mata kepada 13,170.41.

Indeks FBM 70 melambung 47.60 mata kepada 14,201.89 dan FBM ACE meningkat 103.14 mata kepada 8,001.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 5.85 mata kepada 13,411.78, Indeks Perladangan untung 21.94 mata kepada 7,136.97 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.59 mata kepada 140.24.

Tajuk kecil: Ringgit dibuka tinggi

Urus niaga ringgit bangkit semula daripada kerugian minggu lepas untuk dibuka lebih tinggi pagi ini berbanding dolar AS, didorong oleh minat diperbaharui dalam kalangan pelabur untuk mata wang baharu muncul, termasuk unit tempatan, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2540/2580 berbanding dolar AS daripada 4.2620/2660 ketika ditutup pada 6 petang Jumaat lepas.

Kenanga Research dalam notanya berkata, mata wang tempatan meneruskan momentum rancak minggu lepas, mengukuh berbanding dolar AS, dipacu keyakinan terhadap vaksin Covid-19 dan sentimen ekonomi tempatan yang positif.

“Bagaimanapun, momentum itu sebahagiannya terjejas oleh memuncaknya ketegangan antara AS dan China,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0799/0833 daripada 3.0764/0797 minggu lepas dan lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0204/0253 daripada 4.0068/0117 pada Jumaat.

Unit tempatan turut jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4519/4588 daripada 5.4268/4336 dan lemah berbanding euro kepada 4.9712/9776 daripada 4.9426/9481 sebelumnya.