DAP, Amanah seru pilih Anwar dahulu, kemudian Shafie jika gagal

Pembangkang hanya ada sokongan 71 ahli Parlimen tanpa PKR, atau 91 ahli Parlimen tanpa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: DAP dan Amanah hari ini menyeru ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Warisan, kumpulan Dr Mahathir Mohamad dan sekutu gabungan itu memilih Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dahulu sebelum Presiden Warisan Shafie Apdal.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu mengemukakan penyelesaian itu bagi memecah kebuntuan sekitar hal calon perdana menteri PH Plus.

“Jalan ke depan ialah dengan memberikan peluang pertama kepada Anwar dan jika beliau gagal, Shafie wajar diberikan peluang serupa; kedua-duanya dengan berasaskan sokongan kukuh 109 orang ahli Parlimen,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Tegas mereka lagi, bilangan 109 ahli Parlimen perlu menjadi asas untuk membentuk kerajaan.

Pembangkang hanya ada sokongan 71 ahli Parlimen tanpa PKR, atau 91 ahli Parlimen tanpa Warisan dan kumpulan Mahathir.

“Sama ada Anwar atau Shafie, dengan berbekalkan 109 ahli Parlimen, sesiapa yang berjaya mendapat angka mencukupkan angka 112 ahli Parlimen, wajar diberi peluang mengetuai kerajaan gabungan itu nanti sebagai perdana menteri,” katanya.

Lim dan Mohamad turut menegaskan, sebarang formula pilihan raya umum tanpa PH atau PH bersendirian sukar untuk menang.

Pada masa sama, Lim turut akui beliau sendiri mencadangkan supaya Shafie dijadikan calon ketiga, dan disokong oleh Mohamad, dalam pertemuan tidak rasmi dengan Mahathir sebelum ini.

“Mahathir dengan senang hati bersetuju cadangan menjadikan Shafie calon perdana menteri dalam masa 2 minit saja selepas ia diajukan oleh Amanah dan DAP,” katanya.

Menurut mereka, pemilihan Shafie sebagai calon perdana menteri akan menjadi sejarah sebagai pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak yang dicadangkan untuk jawatan itu.