Hong Kong bakal larang makan di restoran, wajibkan pelitup muka

Orang ramai makan di sebuah restoran yang mengenakan jarak sosial dengan meletakkan penghadang pada meja pelanggan di Hong Kong. (Gambar AP)

HONG KONG: Hong Kong akan mengumumkan sekatan lanjut bagi mengekang penularan wabak Covid-19, termasuk larangan menyeluruh untuk makan di restoran dan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Media tempatan, Cable TV dan Now TV melaporkan peraturan baru itu akan berkuat kuasa mulai Rabu seiring dengan amaran pihak berkuasa berhubung tempoh kritikal bagi wilayah itu dalam mengawal pandemik.

Dalam pada itu, larangan makan di restoran bakal menjadi peraturan kali pertama dibuat di wilayah itu.

Sejak akhir Januari, Hong Kong mencatatkan lebih 2,600 kes jangkitan dengan 19 kematian akibat Covid-19.