Jika di mahkamah, hakim akan penjarakan anda, Azalina beritahu Rayer

Timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said meminta ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya lebih “beradab”.

KUALA LUMPUR: Pertikaman lidah antara RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan timbalan speaker Azalina Othman Said tercetus apabila wakil DAP tidak berpuas hati dengan kenyataan wakil kerajaan bahawa Pakatan Harapan (PH) menjual aset negara ketika memerintah.

Kekecohan itu bermula semasa sesi perbahasan Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang membuat dakwaan tersebut.

“Tanya Gombak (Mohamed Azmin Ali) dan Ampang (Zuraida Kamaruddin), siapa yang mengkhianat hingga kerajaan PH jatuh,” katanya Rayer kepada Salim.

Azalina kemudiannya meminta Rayer duduk dan bertanya Salim sama ada beliau ingin menjawab pertanyaan Rayer atau tidak.

Salim enggan menjawab.

Rayer kemudian menuduh Salim tidak cukup berani untuk menjawab soalannya, tetapi Azalina mengingatkan beliau supaya duduk bagi membolehkan Salim meneruskan perbahasan.

“Saya adalah Yang di-Pertua. Di bawah Perintah Tetap 35, anda mesti membiarkan ketua memutuskan apakah anda boleh mengajukan pertanyaan. Sila hormati,” kata Azalina.

Selepas beberapa kali Rayer enggan duduk, Azalina menjadi berang.

“Saya belum selesai, tetapi anda telah campur tangan. Sekiranya anda berada di mahkamah, hakim akan memasukkan anda ke dalam penjara,” katanya.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Rayer memberitahu Azalina bahawa hakim tidak akan memasukannya ke dalam penjara tanpa alasan.

Azalina mengingatkan Rayer supaya tidak mengajarnya bagaimana untuk bekerja dan meminta beliau duduk.

“Banyak ahli Parlimen telah berdebat dengan banyak tuduhan. (Anda) mengatakan bahawa itu adalah demokrasi, maka (biarkan mereka) bercakap.”

Sambil menaikkan suaranya Azalina menyuruh Rayer duduk.

“Saya tidak akan membenarkan anda bercakap. YB duduk,” katanya kepada Rayer.

“Saya akan hitung, 5, 4, 3, 2, 1. Duduk atau keluar,” katanya.

Rayer kemudiannya duduk.