KKM akan bincang dengan syarikat penerbangan wajib ujian Covid-19 ke atas penumpang

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wujud keperluan untuk mewajibkan ujian saringan Covid-19 ke atas penumpang transit di negara ini.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi mewajibkan penumpang transit dalam negara sebelum berlepas ke negara destinasi untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya ujian saringan dapat dilaksanakan dan dipersetujui syarikat penerbangan, maka ia dapat mencegah penularan wabak Covid-19 dalam pesawat penerbangan.

“Keperluan ini bukan melibatkan KKM sahaja, ia melibatkan syarikat penerbangan. Jadi polisi syarikat penerbangan contohnya boleh menetapkan perlu jalani saringan atau ujian Covid-19 sebelum menaiki pesawat. Kalau kita laksanakan, kita boleh cegah kes dalam pesawat.

“Kita kena berbincang dengan syarikat penerbangan dan lihat bagaimana ia dapat dilaksanakan, termasuk penumpang transit. Tetapi ujian tersebut perlu dibiayai oleh penumpang, bukannya kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan Kemboja yang mengumumkan larangan sementara ke atas semua penerbangan dari Malaysia dan Indonesia bagi mengekang penularan Covid-19, berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Dalam pengumuman semalam, kementerian itu berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil susulan peningkatan semula angka jangkitan kes import sejak beberapa minggu kebelakangan, terutama dari 2 negara berkenaan.

Daripada 108 penumpang yang diuji positif Covid-19 selepas tiba di Kemboja dari Malaysia dan Indonesia, 55 orang daripadanya didapati menggunakan khidmat Penerbangan Malaysia.

Noor Hisham bagaimanapun berkata, kesemua 55 individu yang dikesan positif itu bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya hanya menggunakan Lapangan Terbang KLIA untuk transit sebelum meneruskan penerbangan ke Kemboja.

“55 kes yang dikesan positif, mereka bukan dari negara kita, mereka hanya gunakan KLIA untuk penerbangan ke Kemboja. “Kita perlu lihat untuk laksanakan ujian ke atas penumpang transit. Penggunaan lapangan terbang kita untuk transit ini adalah satu isu.

“Sama ada perlu saring atau tidak. Kita lihat hari itu, ada pelajar dari Australia transit di KLIA sebelum ke Kuching. Tetapi dia menjangkiti penumpang sebelah. Sekarang ini perlu buat saringan ke atas penumpang yang transit.

“Kena lihat penumpang, 55 kes itu adalah mereka yang pulang dari Rusia, Arab Saudi, Mesir dan sebagainya. Inilah yang kita bimbangkan sebab kes Covid-19 sedang meningkat di negara lain. Jadi ada isu dan boleh menjangkiti orang lain,” katanya.