Menteri digesa dedah syarat penyelesaian skandal 1MDB dengan Goldman Sachs

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang Wong Chen menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan syarat penuh perjanjian penyelesaian dengan bank antarabangsa Goldman Sachs berkait skandal 1MDB.

Beliau berkata penyelesaian sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bukan penyelesaian terakhir dan terbaik, memandangkan kerugian bersih akibat skandal 1MDB dianggarkan sekitar RM40 bilion hingga RM50 bilion, “bergantung pada apa yang dapat terima balik”.

“Yang lebih membimbangkan syarat jaminan sebanyak AS$1.4 bilion tidak jelas,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Wong berkata Tengku Zafrul harus menjawab apa sebenarnya terma jaminan itu, dan upaya apa yang dilakukan Goldman untuk mendapatkan kembali AS$1.4 bilion.

“Adakah jumlah AS$.14 bilion sebahagian daripada apa yang dipulihkan oleh kerajaan Amerika Syarikat atau dalam proses pemulihan?” katanya.

Wong juga mahu tahu berapa jangka masa yang diberi kepada Goldman untuk pulihkan semula sebelum mereka kena bayar AS$1.4 bilion.

Pemimpin PKR itu berkata tanpa keterangan penuh berhubung soalan berbangkit itu, rakyat tidak akan dapat menilai nilai pampasan sebenar dengan betul.

“Menteri juga harus mendedahkan sepenuhnya apa implikasi undang-undang kepada Goldman dari segi kes jenayah,” katanya.

“Kerajaan tidak boleh membiarkan orang yang terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah 1MDB terlepas sahaja dengan denda.”

Wong juga mendesak kerajaan menyatakan usaha mereka mendapatkan wang daripada ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho dan individu lain yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Putrajaya dan Goldman minggu lepas mencapai suatu penyelesaian yang akan menyaksikan AS$3.9 bilion dikembalikan kepada Malaysia.

Tengku Zafrul pada Sabtu berkata Goldman akan membayar AS$2.5 bilion dalam bentuk tunai dan jaminan untuk pengembalian penuh sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng.