Peguam warga Bangladesh Rayhan tidak tahu di mana beliau ditahan

Peguam Md Rayhan Kabir, Sumitha Shaanthini Kishna (kiri) dan Selvaraja Chinniah ditemui di ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Peguam warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir, yang disiasat oleh pihak berkuasa selepas muncul dalam dokumentari kontroversi mengenai layanan Malaysia ke atas migran oleh stesen media Al Jazeera berkata, mereka tidak tahu di mana beliau berada dan di bawah akta mana beliau didakwa.

Rayhan, yang dijejak oleh pihak berkuasa sejak 7 Julai berhubung penyiasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 ditahan oleh pegawai jabatan itu Jumaat lepas.

Peguam Selvaraja Chinniah dan Sumitha Shaanthinni Kishna berkata, mereka menulis surat kepada Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud di pejabatnya meminta untuk berjumpa dengan Rayhan.

“Saya tidak boleh berikan banyak maklumat kerana belum berpeluang bertemu dengan pegawai penyiasat atau klien.

“Hari ini kami datang bagi mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Imigrsen untuk bertemu dengan klien kami,” kata Selvaraja, dengan menambah bahawa pembantu peribadi Khairul mengesahkan telah menerima surat mereka.

Rayhan adalah antara individu yang ditemu bual dalam laporan Al Jazeera bertajuk “Locked up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan pada 3 Julai lepas.

Dokumentari itu mendakwa pihak berkuasa memberi layanan buruk kepada migran semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ini mencetuskan bantahan daripada pemimpin kerajaan, sekali gus menyebabkan saluran berita berpangkalan di Qatar itu disiasat atas pelbagai kesalahan, termasuk menghasut, memfitnah dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

Al Jazeera yang mempertahankan laporan itu sebagai seimbang berkata, penahanan Rayhan kerana bercakap mengenai pengalaman dihadapi oleh migran “tidak menyenangkan” dan kebebasan bersuara adalah hak asasi.

Menurut akhbar Bangaladesh Daily Star, Rayhan berkata, beliau hanya mahu mempertahankan harga diri migran dan maruah negaranya.

Katanya, beliau percaya pandangannya dikongsi oleh migran lain dan juga rakyat Bangladesh.

Selvaraja dan Sumitha dilantik oleh keluarga Rayhan pada 18 Julai kerana menjangka beliau akan ditahan.

“Pada masa ini, arahan klien kami ialah memastikan keselamatan anak mereka dan diberikan bantuan yang diperlukan,” kata Selvaraja.

“Sebagai peguam, kami bertanggungjawab kepada klien.”