Saya tak hina Melayu, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu sebelum itu bersetuju dengan kenyataan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) berhubung Melayu bersatu atas akhlak keperibadian mulia termasuk melawan rasuah.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh apabila Noh Omar (PN- Tanjung Karang) mempersoalkan kenyataan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang bercakap mengenai rasuah.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu sebelum itu bersetuju dengan kenyataan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) berhubung Melayu bersatu atas akhlak keperibadian mulia termasuk melawan rasuah.

Mohamad berkata, kenyataan menyokong orang Islam walaupun terbabit rasuah dan ada pintu taubat cukup bahaya.

“Kita sokong orang Islam yang berintegriti, tidak kira siapa atau dari parti mana. Kalau berwibawa, bertakwa, kita boleh terima. Bukan kita sokong sebab Islam, tetapi rasuah,” katanya ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Noh yang tidak berpuas hati mempersoalkan kenyataan itu dan berkata, terlalu umum mengatakan Melayu rasuah.

“Tolong jangan umum. Siapa rasuah? Sudah ada bukti ke? YB Melayu, jangan hina Melayu,” katanya.

Mohamad selepas itu menafikan beliau menghina Melayu.

“Saya cakap secara umum. Saya tidak hina bangsa Melayu tetapi, saya mahu Melayu yang bertakwa, beriman dan integriti,” katanya.

Dalam pada itu, Noh juga mempersoalkan adakah bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad juga terbabit rasuah selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Khalid Samad (PH-Shah Alam) berkata, bekas setiausaha politiknya itu baru disiasat dan belum didakwa lagi.