SC beri LTAT tempoh sehingga 27 Okt untuk umum hasrat swasta Boustead

Boustead Holdings, yang dimiliki 59.42% oleh LTAT berkata, ia menerima notis daripada syarikat induk mengenai tempoh lanjutan yang diberikan oleh SC menerusi surat bertarikh 24 Julai.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) meluluskan permohonan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melanjut masa sehingga 27 Okt bagi mengumumkan hasrat cadangan penswastaan kumpulan Boustead Holdings Bhd.

Boustead Holdings, yang dimiliki 59.42% oleh LTAT berkata, ia menerima notis akhbar hari ini daripada syarikat induknya mengenai tempoh lanjutan yang diberikan oleh SC menerusi surat bertarikh 24 Julai.

“Kecuali perkara di atas, tiada sebarang perkembangan ketara berkaitan dengan cadangan tersebut,” kata konglomerat berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu yang terlibat dalam perniagaan perladangan hingga kewangan menegaskan bahawa cadangan tersebut tertakluk, antara lainnya kepada, struktur cadangan yang dimuktamadkan, prasyarat pembiayaan bagi cadangan dan kelulusan kawal selia yang diperlukan bagi cadangan itu.

Pada lewat Mei, Boustead mengesahkan LTAT menimbangkan cadangan untuk menjadikan syarikat itu sebagai syarikat sendirian berhad.

Kaunter itu ditutup tidak berubah hari ini pada 68 sen sesaham dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.38 bilion.