Shafie gesa henti ‘berpolitik’ selepas spekulasi rampasan kuasa reda

Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal dikatakan berada di ambang kejatuhan.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menggesa supaya permainan politik dihentikan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat negeri itu susulan spekulasi bahawa kerajaan pimpinannya berada diambang kejatuhan melalui pembelotan.

Dalam kenyataan hari ini Shafie berkata, pertelingkahan tidak akan membantu rakyat berdepan kesukaran ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Minggu lepas, Umno dan parti pembangkang Sabah dipercayai hampir memperoleh sokongan mencukupi untuk mendapat majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan beberapa Adun memberitahu bahawa mereka mengubah sokongan.

Pemimpin DAP Sabah mendakwa berjuta-juta ringgit ditawarkan bagi mendapatkan sokongan tersebut.

Selain politik negeri, Shafie juga dinamakan sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PH) di peringkat persekutuan.

Shafie berkata, jumlah pengangguran di Sabah kini melebihi 100,000 orang.

“Kita tidak harus membuang masa dengan terus berpolitik. Sebaliknya keutamaan sekarang ialah memastikan kehidupan rakyat terjamin,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan dengan kerajaan persekutuan bagi menangani masalah rakyat di Sabah, dan ia tidak harus dilihat sebagai cara untuk meraih populariti, tetapi untuk menyelamatkan negara.

Umno, PPBM, STAR dan PBS mempunyai sokongan 20 Adun, termasuk 3 Bebas, dan salah seorang daripadanya merupakan ahli yang dilantik.

Mereka memerlukan 13 lagi kerusi bagi mencapai majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 65 kerusi.

Kerajaan negeri terdiri daripada Warisan, Upko, DAP dan PKR, sementara kerajaan PN di Putrajaya dianggotai oleh Barisan Nasional, PPBM, PAS, GPS dan parti Sabah.