Siasatan kes terowong dasar laut tidak pernah ditutup, Najib beritahu Tony Pua

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, dakwaan ahli Parlimen Damansara Tony Pua bahawa SPRM telah menutup kes terowong Pulau Pinang tidak benar.

PETALING JAYA: Najib Razak menyelar tindakan ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang berkata, “desas-desus” menyebut Umno menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) supaya kes terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan Lim Guan Eng, dibuka semula.

Dalam hantaran di Facebooknya, bekas perdana menteri itu berkata, kes itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah ditutup sejak ia pertama kali dibuka pada Julai 2017.

“Ini satu pembohongan amat jelas kerana kes ini tidak pernah ditutup, malah 6 kertas siasatan masih dibuka ketika itu,” katanya.

Pua, yang juga penasihat kepada Lim Guan Eng ketika beliau menjadi menteri kewangan berkata, skandal rasuah membabitkan Guan Eng itu sudah ditutup pada November 2018, ketika Tommy Thomas menjadi peguam negara.

Guan Eng hadir ke ibu pejabat SPRM sebanyak 3 kali minggu lalu bagi memberi keterangan berhubung projek itu.

“Hasil dari siasatan bagi kertas pertama Julai 2017, 5 lagi kertas siasatan baru dibuka pada Januari 2018. Namun kesemua siasatan tak sempat siap sebelum pilihanraya umum ke-14.

“Setelah PRU-14, kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara di bawah Tommy Thomas. Ada yang dihantar balik kepada SPRM untuk siasatan tambahan dan ada kertas siasatan yang tersangkut di Pejabat Peguam Negara tanpa apa-apa tindakan lanjut,” katanya.

Najib berkata, selepas SPRM mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan terowong itu pada Mac 2019, ketua pesuruhjaya SPRM diganti dengan lantikan politik, iaitu Latheefa Koya daripada Pakatan Harapan (PH) pada Jun 2019.

Kemudian pada September 2019, Latheefa membidas mereka yang bertanya tentang skandal terowong itu.

“Latheefa sendiri kata dia tak boleh dedahkan apa-apa kerana siasatan masih aktif berjalan.

“Tang mana kes terowong itu ditutup pada November 2018 seperti ditipu Tony?,” kata Najib di Facebook.

“SPRM di bawah kerajaan PH keluarkan ‘fake news pada Mac 2019 atau Latheefa Koya bohong pada September 2019 ke?”