Sumbang RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi untuk dapat ‘projek’, pengarah syarikat beritahu mahkamah

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat MTM Network Sdn Bhd mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau memberi sumbangan RM6.6 juta kepada Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid Hamidi melalui beberapa keping cek bagi mendapatkan “kerja”.

Ng Hong Sing, 56, berkata, pemberian sumbangan itu juga adalah sebagai “perkenalan” antara dirinya dengan bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-26 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Zahid.

Menurut Ng, beliau meminta kawannya yang mengenali seorang lelaki bernama “Datuk Ruzi” yang merupakan orang kuat Bagan Datuk, Perak dan juga kepada tertuduh untuk diperkenalkan kepadanya.

“Pada bulan Januari 2016 Datuk Ruzi memberitahu kepada saya bahawa dia boleh memperkenalkan saya kepada tertuduh, namun saya harus memberikan sedikit sumbangan kepada Yayasan Akalbudi bagi mendapatkan kerja,” katanya.

Katanya selepas seminggu, beliau dan Datuk Ruzi pergi ke rumah tertuduh dan beliau memberitahu Datuk Ruzi bahawa beliau hanya boleh memberi sumbangan RM3 juta.

“Selepas tiba di rumah tertuduh, saya mendapati ada ramai orang lain menunggu untuk berjumpa tertuduh. Saya telah masuk ke rumah tertuduh bersama Datuk Ruzi. Setelah Datuk Ruzi memperkenalkan saya kepada tertuduh beliau terus keluar dan meninggalkan saya dengan tertuduh.

“Semasa bersama dengan tertuduh, beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi memberi sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

“Saya juga memberitahu tertuduh bahawa saya akan memberi sumbangan kepada yayasan itu sebanyak RM3 juta. Tertuduh juga memberitahu saya bahawa urusan selebihnya, saya boleh berhubung dengan Datuk Ruzi,” katanya dan menambah pertemuan tersebut berlaku lebih kurang 5 hingga 6 minit.

Saksi pendakwaan ke-79 itu berkata, selepas keluar dari rumah Zahid, Datuk Ruzi memberitahu bahawa beliau akan mendapatkan projek yang lebih besar jika menyumbang lebih (jumlah tinggi) kepada Yayasan Akalbudi.

“Saya hanya memberitahu kepada Datuk Ruzi bahawa nilai maksimum yang saya boleh sumbang adalah sebanyak RM6 juta sahaja.

“Pada sekitar bulan Februari 2016, Datuk Ruzi telah menghubungi saya mengenai sumbangan yang akan saya berikan sebanyak RM6 juta.

“Saya ada membuat rundingan dengan Datuk Ruzi bahawa akan memasukkan RM6 juta ke dalam akaun Yayasan Akalbudi secara berperingkat selama setahun kerana syarikat masih belum mempunyai wang yang cukup.

“Datuk Ruzi bersetuju dengan cadangan saya pada ketika itu,” katanya yang mengenali Datuk Ruzi daripada kenalannya bernama “Jamal”.

Ketika ditanya timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong semasa pemeriksaan utama, daripada mana sumber kewangan yang beliau peroleh bagi memberi sumbangan kepada Yaysan Akalbudi, saksi itu menjawab: “wang itu diperoleh daripada hasil pinjaman daripada rakan-rakan,”.

Harris Ong: Berapa jumlah keseluruhan yang anda bayar kepada Yayasan Akalbudi?

Ng: Mengikut rekod saya sebanyak RM6.6 juta.

Harris Ong: Hingga hari ni, adakah anda terima apa-apa pulangan?

Ng: Tidak ada.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal, Ng bersetuju dengannya bahawa sumbangan itu bukan rasuah, tetapi adalah untuk kerja amal.

Saksi itu juga turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa Zahid tidak menjanjikan apa-apa (projek) daripada sumbangan tersebut dan kata-kata itu (mengenai projek) hanya keluar daripada mulut Datuk Ruzi.

Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.