Walau apa pun keputusan mahkamah, ia tidak berakhir esok, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, tidak seperti kerajaan PH yang menggugurkan kes terhadap Lim Guan Eng, beliau mahu membersihkan namanya di mahkamah.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, walau apa pun keputusan esok, ia bukanlah penamat buat dirinya, menjelang keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan beliau.

Najib berkata, sekiranya beliau didapati tidak bersalah dalam kes berkenaan sudah tentu pihak pendakwa raya akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan, tetapi jika keputusan tidak memihak kepada dirinya, beliau juga akan membawa kes itu ke mahkamah yang sama.

“Saya tahu apa di minda semua, apa yang ditulis, apa yang diperkatakan. Sejak hari pertama saya sudah kata, inilah peluang saya untuk membersihkan nama saya.

“Walau apa pun keputusannya esok di Mahkamah Tinggi, ia tidak berakhir di sini,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Najib berkata, beliau sendiri sudah bersedia untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan, selain menegaskan, beliau tidak mahu mana-mana kes membabitkan dirinya digugurkan seperti dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung kes melibatkan Lim Guan Eng.

“Saya tidak putus asa. Ya, lepas ini kita ke Mahkamah Rayuan, saya sudah bersedia. Demi DAP dan Lim Guan Eng, undang-undang dan sistem kehakiman dimainkan begitu sahaja oleh Pakatan Harapan.

“Saya mahu keadilan, saya mahu bersihkan nama saya,” katanya.

Mahkamah Tinggi esok akan membuat keputusan berhubung kes membabitkan Najib yang didakwa menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Tarikh itu bakal dicatat sebagai detik penting dalam sejarah kehakiman Malaysia yang menyaksikan Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada Najib, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-67 Khamis lepas, didapati bersalah atau sebaliknya.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Najib, perdana menteri ke-6 dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menjadi tumpuan kerana beliau bakal menentukan nasib Najib apabila memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan dalam kes itu, yang dijangka diumumkan pada kira-kira 10 pagi.