2 kluster baru Covid-19 dikesan di Kedah, Sarawak

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 2 kluster baru Covid-19 di Kedah dan Sarawak yang dikenali sebagai kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Sivagangga, India dan kluster Satok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster PUI Sivagangga merupakan seorang penduduk tetap yang pulang dari India pada 13 Julai lalu, iaitu kes ke-8,937.

“Saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA didapati negatif.

“Beliau sudah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan di bawah tindakan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan ulangan Covid-19 didapati positif dan beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyyah, Kedah.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan. Sehingga hari ini, 28 kontak rapat sudah disaring.

“Daripada jumlah tersebut, 5 individu dikesan positif Covid-19 dan 23 lagi negatif.”

Katanya, kes indeks kluster ini ialah seorang pemilik kedai makan dan 4 kes positif pula terdiri daripada pekerja premis itu.

“Mereka bukan warganegara, manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks.

“Kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks. Premis yang dikenal pasti ini sudah ditutup bagi proses pembersihan dan nyahkuman.”

Bagi kluster Satok, Hisham berkata, ia dikesan di sebuah pasar Satok, Kuching dengan 229 peniaga sudah menjalani ujian saringan.

“Daripada jumlah tersebut, 4 dikesan positif Covid-19, manakala 225 lagi negatif. Semua kes positif tidak bergejala dan mereka dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan, termasuk proses pembersihan dan nyahkuman bagi premis dan kemudahan berkaitan.”