39 kes baru jangkitan Covid-19, 28 penularan tempatan

PUTRAJAYA: Sebanyak 39 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi, yang mana 28 daripadanya kes penularan tempatan.

Ia adalah jumlah kes baru ke-3 tertinggi sejak 41 kes direkodkan pada 15 Jun lalu dan 43 kes pada 13 Jun lalu, selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan 10 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 22 daripada 28 kes penularan dalam negara itu membabitkan warga Malaysia.

Sebanyak 19 kes dikesan di Sarawak, 2 kes di Sabah dan 1 kes di Kedah.

Katanya, terdapat 11 kes import membabitkan 4 rakyat Malaysia dan 7 warga asing yang dibenarkan memasuki negara ini.

“Sebelas kes import tersebut dari Arab Saudi (1 kes di Sabah), Ireland (1 kes di Kuala Lumpur), Korea Selatan (1 kes di Sarawak dan 1 kes di KL), India (1 kes di Kedah), Rusia (1 kes di KL).

“Dari Amerika Syarikat (1 kes di KL), Amerika Selatan (1 kes di Sarawak), United Kingdom (2 kes di Sarawak) dan Filipina (1 kes di Labuan).”

Hisham berkata, Malaysia mencatatkan 8,943 kes Covid-19 setakat ini, dengan 212 pesakit masih dirawat di seluruh negara.

Katanya, seorang pesakit yang sedang dirawat di unit rawatan rapi hari ini memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, 6 pesakit sembuh dan tiada kematian dilaporkan hari ini.