Anwar tahu pendirian saya mengenai calon PM, kata Shafie

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sudah memberitahu pendiriannya berhubung isu calon perdana menteri Pakatan Harapan dalam pertemuannya dengan Pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahli Parlimen Semporna itu bagaimanapun tidak menyatakan jika ia adalah perbincangan lama, tetapi memberi isyarat beliau sudah membincangkan pencalonannya sebagai perdana menteri sebagai penyelesaian kepada kebuntuan antara Anwar dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau mahu jumpa saya. Kami jumpa di Parlimen dan saya menyatakan pendirian saya mengenai perkara yang diusulkan.

“Saya percaya mereka (PH) akan mengadakan pertemuan hari ini untuk membincangkannya,” katanya selepas melancarkan kempen Bulan Kebangsaan dan mengibar Jalur Gemilang hari ini.

Ditanya mengenai reaksi Anwar, Shafie berkata: “Sudah tentu beliau berkata sesuatu, tetapi kita akan lihat bagaimana perbincangan berjalan kerana cadangannya untuk memastikan saya akan menjadi penyelesaiannya.”

Katanya, ia bagi mengelakkan konflik antara penyokong Anwar dan Mahathir.

“Jadi, mungkin jika saya dapat menyatukan mereka, itu boleh menjadi langkah yang baik. Tetapi kita lihat bagaimana ia berjalan,” katanya.

Minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata, PH akan menemui Shafie untuk menyuarakan sokongan kepada kerajaan negeri, yang dikatakan akan berdepan rampasan kuasa politik oleh pembangkang.

Semalam, DAP dan Amanah berkata, peluang untuk menjadi perdana menteri harus diberikan kepada Shafie, jika Anwar yang juga presiden PKR gagal mendapatkan sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan bersama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang sebelum ini menyokong pendirian PH untuk menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri, menyatakan hakikat sukar memenangi pilihan raya umum tanpa Warisan atau kumpulan Mahathir.

Sementara itu, Shafie berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut siapa yang seharusnya menjadi calon perdana menteri.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan seseorang dari Sabah atau Sarawak patut diberikan jawatan itu.

“Sudah lama orang Sabah atau Sarawak patut dipertimbangkan untuk jawatan itu.”

Katanya, beliau turut memberitahu Anwar yang kerajaan negeri terdiri daripada Warisan, Upko, DAP dan PKR tetap utuh, walaupun terdapat tuduhan cubaan pihak tertentu mengganggu pentadbirannya.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, Sabah sedang berusaha mengenakan cukai ke atas industri besi buruk untuk menjana pendapatan negeri.

“Kita harus melihat sumber dan jumlahnya. Jika memberangsangkan, kita mungkin kenakan cukai, tetapi kita tidak mahu ia menjejaskan industri ini,” katanya.