Cintai Malaysia boleh satukan negara, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berucap ketika pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan di Perdana Putra, hari ini.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, cinta yang mendalam terhadap Malaysia boleh menjadi faktor penyatuan pelbagai kaum di negara ini dengan menyeru rakyat Malaysia terus mengekalkan keharmonian negara.

Ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Perdana hari ini yang berlangsung secara fizikal dan maya berikutan wabak Covid-19, Muhyiddin menzahirkan kesyukuran kerana rakyat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan harmoni.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita tentu berasa berbangga setiap kali anak Malaysia ini menjulang nama negara dalam bidang pencapaian masing-masing.

“Perasaan yang penuh emosi ini lahir daripada rasa ikhlas mencintai negara. Kita mengenepikan sama ada rakan senegara kita itu berlainan bangsa atau agama dengan kita.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Perdana Putra, Putrajaya.

“Yang penting, mereka berjaya mengharumkan nama negara dan menjulang Jalur Gemilang sebagai seorang warganegara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat mengibarkan Jalur Gemilang baik di rumah masing-masing, di bangunan pejabat dan gedung perniagaan serta pada kenderaan dengan mengatakan ia adalah simbol kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Katanya, sambutan Bulan Kebangsaan bertemakan “Prihatin Malaysia”, bertepatan aspirasi didukung kerajaan untuk semua lapisan masyarakat dalam memerangi musuh ketika ini iaitu wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga turut melepaskan “Info on Wheels Merdeka” (IOW Merdeka) yang akan menyaksikan lagu-lagu patriotik dan mesej kempen-kempen nasional seperti Rukun Negara dimainkan melalui kenderaan yang akan menjelajah meliputi 153 daerah. Selain itu, mesej berkaitan pencegahan Covid-19 dan inisiatif kerajaan persekutuan juga akan dibuat.

Difahamkan, IOW Merdeka itu merupakan idea Jabatan Penerangan berikutan sambutan perlu diadakan dalam suasana norma baharu susulan perarakan dan perhimpunan ramai tidak dibenarkan akibat pandemik.

Unit bergerak ini juga akan memasang Jalur Gemilang menerusi pelbagai komuniti, dengan 3,060 program IOW Merdeka disasarkan bagi pelaksanaannya pada tahun ini dengan 20 kali program bagi setiap 153 daerah.

“Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita. Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

“Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila,” katanya.