Dendam kesumat di sebalik apa yang menimpa Najib, kata Puad

Bekas ahli Parlimen Batu Pahat, Puad Zarkashi.

PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen Umno, Puad Zarkashi berkata di sebalik apa yang menimpa Najib Razak, adalah “dendam kesumat”, tidak lama selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bekas perdana menteri itu bersalah atas semua tuduhan berkait dana SRC International.

“Najib pasti maklum kenapa itu berlaku kepadanya. Ada yang tersirat iaitu dendam kesumat,” kata bekas wakil rakyat Batu Pahat itu di Facebook hari ini.

Puad juga mendakwa pemimpin tertinggi PPBM berpuas hati dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Hari ini orang yang tersenyum puas apabila Najib dihukum bersalah ialah Muhyiddin bukan Mahathir,” katanya, memetik nama Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, dan seteru Najib, Dr Mahathir Mohamad.

“Muhyiddin pasti berbangga kerana walaupun Najib menandatangani akuan bersumpah menyokong dia sebagai perdana menteri ke-8 tetapi dia tidak boleh dibeli dengan sokongan itu.”

Puad menambah Muhyiddin akan mendakwa dirinya paling berprinsip. “Sebab itu Zahid juga tercicir dari senarai menteri,” katanya, merujuk kepada presiden Umno.

Puad turut berkata Muhyiddin juga berbangga kerajaan Perikatan Nasional bermoral tinggi, ketika Menteri Kanan Azmin Ali dan Senator Zahid Md Arip belum didakwa atau dituduh.

“Nampaknya isu moral hanya terpakai pada pemimpin Umno. Ia tidak terpakai kepada pemimpin parti lain terutamanya PPBM.

“Apa pun Najib juga tidak pernah meminta supaya kes beliau digugurkan.”

Masih ada ruang

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi berkata masih ada ruang untuk bekas presidennya merayu keputusan mahkamah itu.

Tegasnya, Umno menghormati institusi mahkamah dan keputusan hakim.

“Masih ada ruang untuk merayu di Mahkamah Rayuan (libatkan 3 hakim) dan Mahkamah Persekutuan (5 atau 7 hakim),” katanya di Twitter.