Kontak rapat kluster Sentosa terus dikesan, kata Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata semua kontak rapat kepada anggota KKM dan pesakit positif Covid-19 dikuarantin di stesen kuarantin yang dikenal pasti dan KKM akan memberi penekanan terhadap aktiviti pencegahan dan pengurusan jangkitan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan pengesanan kes aktif dan kontak rapat Covid-19 membabitkan kluster Sentosa di Kuching, Sarawak bagi mengelak peningkatan kes di negeri itu.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, setakat 18 Julai hingga 27 Julai lalu seramai 680 orang dikenalpasti dan disaring membabitkan kluster Sentosa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes didapati positif Covid-19 manakala 587 negatif dan 72 lagi sedang menunggu ujian Covid-19. Pengesanan kes secara aktif dan kontak rapat masih diteruskan.

“Daripada 21 kes positif ini, 16 kes adalah daripada kalangan anggota KKM, 2 anggota perkhidmatan sokongan (syarikat mengurus fasiliti di hospital), 1 pesakit dalaman, manakala 2 lagi adalah kontak ahli keluarga kepada kes,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Adham berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta beliau menyatakan pelan kerajaan untuk menangani isu peningkatan kes Covid-19 di Kuching terutama dalam kalangan kluster Sentosa yang membabitkan kakitangan hospital kerajaan.

Chong juga meminta Adham menyatakan apakah langkah tambahan akan diambil kerajaan untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja kesihatan, pesakit dan orang awam di persekitaran hospital itu selain langkah tambahan untuk membendung penularan Covid-19 di Kuching serta membantu peniaga yang terjejas akibat pandemik itu.

Adham berkata, antara langkah pencegahan dilaksanakan KKM untuk melindungi golongan terbabit adalah semua pesakit dan petugas Hospital Sentosa yang positif Covid-19 diasing dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Beliau berkata, semua kontak rapat kepada anggota KKM dan pesakit positif Covid-19 dikuarantin di stesen kuarantin yang dikenal pasti dan KKM juga akan memberi penekanan terhadap aktiviti pencegahan dan pengurusan jangkitan Covid-19.

“Kementerian turut menjalankan ujian saringan mental kepada semua pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Katanya, KKM juga akan melakukan mobilisasi pegawai dari seluruh Sarawak bagi menggantikan petugas Hospital Sentosa yang sedang dirawat dan dikuarantin.

Menurutnya, KKM Putrajaya juga memobilisasikan pasukan bantuan penasihat teknikal ke Sarawak untuk meninjau dan membantu memberikan pandangan mengenai penularan serta pengurusan jangkitan Covid-19 di sana.

Bagi membantu peniaga yang terjejas, Adham berkata KKM menjalankan pendekatan bersasar untuk menyaring dan mengesan kes secara aktif termasuk di pasar dan premis berdekatan Hospital Sentosa.