KP kesihatan kecewa penyokong Najib tak amal penjarakan sosial

Penyokong Najib Razak berhimpun di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini tanpa mengamalkan penjarakan sosial 1m.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah kecewa dengan penyokong Najib Razak yang tidak mengamalkan penjarakan sosial bagi mengelakkan penularan Covid-19 ketika berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

“Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia patuh kepada SOP untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya 1m, memakai topeng dan kerap cuci tangan.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” tulisnya di Twitter selepas seorang wakil rakyat dilaporkan bimbang berlaku kluster baru susulan himpunan solidariti menyokong bekas perdana menteri itu di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dilaporkan berkata, kebimbangan itu timbul kerana himpunan terbabit tidak dikekang dan dikawal pihak berkuasa.

“Walaupun kenaikan angka kes positif harian antara satu atau 2 digit, kebimbangan tetap ada, terutamanya hari ini kita dengar ada satu himpunan di mahkamah.

“Kita bimbang berlaku kluster baru akibat daripada perhimpunan yang tidak dikekang dan tidak dikawal,” katanya ketika membahas ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.